Kajian Dapati 51 Peratus Rakyat Akui Tak Mampu Beli Rumah

Sumber Foto: IProperty


HARTANAH | Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia mendedahkan bakal pembeli rumah menghadapi masalah kemampuan apabila 51 peratus responden tidak layak untuk skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.


Dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai 2022 dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat kepada paras tertinggi sehingga 4.4 peratus tahun ke tahun, bakal pembeli rumah mungkin akan terus berdepan dengan isu kemampuan dan kebimbangan berhubung kemelesetan global dan kadar inflasi yang berterusan.


Ini terbukti dalam kajian PropertyGuru Malaysia itu, dengan kira-kira separuh daripada responden yang dikaji menyatakan bahawa mereka tidak layak untuk skim perumahan kerajaan dan mungkin tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan.


Dalam kajian itu, 73 peratus daripada responden mempunyai pemahaman yang jelas mengenai syarat kelayakan untuk perumahan mampu milik, menunjukkan bahawa bakal pembeli rumah akan terus mencari inisiatif perumahan kerajaan yang lain untuk membantu perjalanan pemilikan rumah.


Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) berkata seperti dilihat dalam Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022, pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap inisiatif kerajaan dan kelayakan untuk perumahan mampu milik.


Sheldon Fernandez menjelaskan ia akibat kemelesetan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR yang berterusan dijangkakan bakal pembeli rumah terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keseluruhan kos sara hidup kembali stabil.


"Dengan pembentangan Bajet 2023 yang akan datang tidak lama lagi, kami berharap akan ada peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan membantu mereka yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah.


"Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 juga telah menunjukkan bahawa lebih 69 peratus daripada mereka yang ditinjau merancang untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah dihidupkan semula," katanya dalam kenyataan media pada 8 September 2022.


Pembeli Bimbang Bencana Alam


Sementara itu, kajian turut mendapati menunjukkan bahawa pembeli rumah bimbang banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di seluruh Malaysia tahun lalu akan memberi kesan kepada hartanah dalam jangka panjang.


Sheldon berkata, 92 peratus daripada responden dalam kajian telah menekankan banjir sebagai kebimbangan utama mereka, manakala 83 peratus bimbang dengan tanah runtuh.


"Dengan kesedaran alam sekitar merekodkan aliran menaik, pengguna kini mencari rumah dan ciri-ciri lestari sebagai pertimbangan utama semasa membeli rumah," katanya.


Pembeli Minat Rumah Miliki Ciri Mampan, Masa Depan


Beliau berkata, responden kaji selidik turut menyatakan bahawa panel solar, penuaian air hujan dan pengkomposan sisa makanan adalah ciri penting yang perlu dimiliki pada masa hadapan.


Selain itu, katanya satu daripada tiga responden daripada kumpulan berpendapatan tinggi sanggup membayar lebih untuk hartanah dengan port pengecasan kenderaan elektrik (EV).


"Walaupun lokasi sentiasa menjadi salah satu pertimbangan utama bagi pencari rumah di Malaysia, kita akan dapat melihat lebih ramai orang semakin mengutamakannya berikutan kejadian banjir pada tahun lalu.


"Kesedaran yang lebih tinggi terhadap kemudahan dan ciri mesra alam juga mungkin dikaitkan dengan isu perubahan iklim yang berterusan. Pengguna kini lebih peka terhadap isu semasa dan kini membuat keputusan mesra alam dengan harapan dapat melakukan perubahan.


"Memandangkan ramai yang kehilangan dan kerosakan rumah tahun lalu, amat jelas bahawa bencana alam ini telah memberi kesan yang berkekalan, apabila 66 peratus responden berkata mereka sanggup membayar premium insurans yang lebih tinggi ke atas hartanah untuk kesan perubahan iklim kerana tiada siapa yang dapat meramalkan rumah mereka akan dilanda banjir atau sebarang bencana alam", katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Kajian MIDF Dapati Kenaikan OPR Tak Jejaskan Permintaan Rumah

Statistik Dapati 1.9 Juta Kediaman Tidak Dihuni