Impak Inflasi, Jualan Hartanah Dijangka Mendatar Pada 2022


  Sumber Foto : I-property


HARTANAH | Jualan hartanah bagi tahun 2022 dijangka berada pada paras yang sama seperti tahun 2021 meskipun pasaran hartanah mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi, kata penganalisis.


RHB Research dalam nota penyelidikan berkata, ketidaktentuan dicetuskan tekanan inflasi, penyusutan ringgit dan potensi risiko kemelesetan di negara Barat amenjejaskan pemulihan permintaan.


Ia juga menjangkakan tekanan kos berterusan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun 2022 dan isu kekurangan tenaga kerja tidak diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan pelbagai sektor juga bersaing untuk bekalan tenaga kerja sebaik saja ia tersedia.


"Walaupun pelaksanaan sekatan pergerakan, jualan hartanah pulih dengan kukuh pada separuh kedua 2021, didorong juga oleh Kempen Pemilikan Rumah (HOC). Seperti yang dijangkakan, jualan hartanah merosot pada suku pertama 2022 selepas tamat tempoh HOC pada Disember 2021 berikutan kebanyakan pembeli mengemukakan pembelian mereka untuk menikmati faedah.


"Pada asas agregat, jualan hartanah suku pertama 2022 jatuh 28 peratus dari tahun ke tahun dan 34 peratus dari suku ke suku tahunan. Walaupun semua pemaju di bawah liputan kami masih mengekalkan sasaran jualan mereka, kami menjangkakan beberapa risiko penurunan menuju ke depan," katanya.


Mengenai marjin pemaju hartanah, RHB Research berkata, projek baharu mungkin menyaksikan marjin lebih tipis berikutan ketidakupayaan untuk menyerahkan sepenuhnya kos pembinaan tambahan kepada pembeli rumah.


Ia berkata, sesungguhnya, pemaju hartanah sudah mencatatkan penurunan marjin sejak 4-5 tahun yang lalu berikutan diskaun dan rebat ditawarkan untuk menyelesaikan inventori tidak terjual dan trend marjin itu dijangka berterusan.


"Walaupun lonjakan dalam kos bahan binaan dan kos tenaga kerja adalah lebih tinggi, kesan keseluruhan kepada pemaju akan lebih beransur-ansur berikutan beberapa kontrak telah diperoleh lebih awal," katanya.


Mengenai kesan kadar faedah kepada pasaran hartanah, RHB Research menjangkakan kesannya adalah secara beransur-ansur memandangkan kadar gadai janji semasa agak sederhana berbanding kadar pada lima tahun lalu.


Sebaliknya, ia berkata, kadar faedah yang lebih tinggi boleh menjejaskan pemaju hartanah yang mempunyai penggearan tinggi memandangkan tambahan dalam kos pinjaman mungkin akan menjejaskan lagi marjin pembangunan, dan seterusnya pendapatan.

Comments

Popular posts from this blog

Kajian Dapati 51 Peratus Rakyat Akui Tak Mampu Beli Rumah

Kajian MIDF Dapati Kenaikan OPR Tak Jejaskan Permintaan Rumah

Statistik Dapati 1.9 Juta Kediaman Tidak Dihuni