Kajian MIDF Dapati Kenaikan OPR Tak Jejaskan Permintaan Rumah

Sumber Foto : EdgeProp


HARTANAH | Permohonan pinjaman rumah kekal stabil pada Ogos 2022, sekali gus memberi petunjuk bahawa permintaan bagi hartanah tidak terkesan oleh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana permintaan disokong oleh pembukaan semula ekonomi, kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya.


Nota penyelidikan pada 12 Oktober 2022 berkata, menurut data dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat kepada RM53.4 bilion pada Ogos 2022, meningkat 4.5 peratus berbanding bulan sebelumnya selepas mencatatkan penurunan bulanan 12.5 peratus pada Julai.


Firma penyelidikan itu menjelaskan dari segi perbandingan tahunan, permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah pada Ogos 2022 melonjak sebanyak 66.1 peratus berikutan asas yang rendah pada Ogos 2021 susulan sekatan pergerakan di Malaysia pada masa itu.


"Jumlah permohonan pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 2.4 peratus kepada RM23.3 bilion pada Ogos 2022, berbanding penurunan bulanan sembilan peratus pada Julai. Peningkatan kelulusan pinjaman itu terutamanya disebabkan oleh permohonan pinjaman hartanah lebih tinggi pada bulan berkenaan," katanya.


Peningkatan itu mengimbangi peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan lebih rendah berbanding permohonan pada Ogos 2022 iaitu 43.6 peratus, berbanding 44.5 peratus pada Julai, kata MIDF Research.


Ia berkata, dari segi perbandingan tahunan, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah pada Ogos 2022 melonjak 93 peratus berbanding bulan sama tahun 2021, berikutan asas yang rendah pada masa itu selain peratusan jumlah pinjaman diluluskan lebih tinggi iaitu 43.6 peratus berbanding 37.5 peratus pada Ogos 2021.


"Secara keseluruhan, pinjaman diluluskan lebih tinggi adalah sejajar dengan jangkaan kami berlaku pemulihan kecil dalam jualan hartanah baharu bagi pemaju," katanya.


Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), rumah kediaman siap tidak terjual berkurangan kepada 34,092 unit pada suku kedua 2022 daripada 35,592 unit pada suku pertama, disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi.


Bilangan rumah siap tidak terjual meningkat melebihi 35,000 pada suku keempat 2021 disebabkan oleh gangguan kepada aktiviti ekonomi daripada beberapa sekatan pergerakan di Malaysia.


Johor mempunyai jumlah rumah siap tidak terjual paling tinggi iaitu 6,040 unit, diikuti oleh Pulau Pinang (5,508 unit), dan Selangor (5,156 unit).

Comments

Popular posts from this blog

Kajian Dapati 51 Peratus Rakyat Akui Tak Mampu Beli Rumah

Statistik Dapati 1.9 Juta Kediaman Tidak Dihuni